♥IKLAN,BLOG & SEGMEN TERBAIK..!! ♥





Monday, April 13, 2015

Saya bujang, saya ok!




Pada awal usia 20-an, kita dapat melihat semakin ramai kawan, saudara-mara dan kenalan yang mula berpasangan, malah ada yang sudah pun mendirikan rumah tangga.
Kepada yang masih tidak mempunyai pasangan dan berpacaran pastinya kadangkala berasa sedikit cemburu ataupun sedih hidup berseorangan.
Namun apabila difikirkan, sebenarnya ada banyak kelebihan menjadi anak muda bujang yang tidak leka bercinta ini.
Tidak perlulah bersedih mahupun merungut menjadi ‘single’ kerana ada manfaat untuk diri sendiri dan orang yang kita sayang seperti keluarga dan rakan.
Untuk meraikan mereka yang masih ‘single’, Gen Y kumpulkan beberapa kelebihan menjadi ‘single’ yang didapati daripada beberapa kajian dilakukan supaya kita dapat meraikan setiap saat menjadi si bujang.
1. Bebas jadi spontan
Tanpa kekasih, kita boleh melakukan banyak perkara dengan spontan dan tidak perlu menunggu kebenaran atau pembabitan pasangan kekasih itu. Contohnya, kalau hendak bela binatang peliharaan atau hendak ke pusat beli-belah, anda tidak perlu pendapat atau persetujuan mereka. Pokoknya, anda bebas bergerak dan bertindak spontan untuk mengisi kehidupan sendiri.
2. Kenali diri
Apabila kita tidak menyibukkan diri dengan seorang individu lain bergelar kekasih, kita sebenarnya mempunyai lebih banyak masa dan peluang mengenali seorang individu yang amat penting iaitu diri sendiri.
Ini peluang untuk kita mengkaji dan mengenali siapa diri kita sebenarnya. Kita boleh berhubung dengan nilai dan azam kehidupan kita sendiri. Bolehlah kita mempersiapkan diri untuk masa hadapan kelak terutamanya dalam aspek perhubungan cinta.
3. Bebas mengembara
Mengembara berseorangan memberi banyak perspektif dan membuka minda kita, malah mengajar kita untuk menjadi lebih berdikari. Apabila tidak mempunyai pasangan, kita mempunyai lebih banyak berpeluang untuk pengalaman ini tanpa sebarang halangan remeh-temeh. Kalau mahukan teman mengembara, boleh ajak kawan bujang lain dan sama-sama melihat dunia tanpa halangan daripada orang lain.
4. Lebih peluang pekerjaan
Dalam mencari kerja, orang bujang yang tidak terikat dengan hubungan cinta mempunyai lebih banyak peluang.
Menurut laman web CNNMoney, banyak organisasi dan syarikat yang lebih suka menggaji mereka yang bujang dan tidak mempunyai hubungan serius dalam kalangan graduan dan lepasan baru universiti.
Ini kerana banyak syarikat menganggap mereka yang bujang dan tidak bercinta mempunyai lebih fokus untuk kerja dan boleh memberi lebih komitmen pada perkembangan syarikat serta diri sendiri sebagai seorang pekerja.
5. Boleh berjimat
Umum tahu kalau bertemu janji pastinya menelan belanja yang banyak. Menonton wayang, makan di tempat romantis, hadiah dan sebagainya. Dapat pula kekasih yang selalu kesempitan wang, terpaksa pula kita membantu dan keluar duit dari poket sendiri. Apabila tidak berpacaran, kita boleh berjimat dengan menyimpan wang untuk perkara lebih berfaedah atau membeli keperluan dan kehendak diri sendiri berbanding memuaskan hati pasangan yang belum tentu menjadi jodoh ke akhir hayat.
Apatah lagi jika yang masih belajar atau baru bekerja, pasti perlu duit untuk diri sendiri dan tidak perlu pening-pening tentang kos remeh bertemu janji.
6. Lebih masa untuk keluarga dan sahabat
Cinta datang dan pergi, namun hubungan ikhlas silaturahim antara ahli keluarga dan sahabat sangat bererti dan lebih berkekalan. Menjadi bujang yang tidak berpacaran memberi peluang kepada kita untuk meluangkan masa berkualiti bersama mereka yang penting sentiasa ada untuk diri kita seperti keluarga dan sahabat. Pastinya kita tidak mahu satu hari kelak kita kehilangan mereka dan sedar sebenarnya kita tidak meluangkan banyak masa bersama mereka yang sentiasa ikhlas ada untuk kita.
Inilah masanya untuk kita menunjukkan bahawa kita sayang kepada mereka dengan meluangkan masa dengan mereka kerana suatu hari nanti pasti ada yang sukar berjumpa contohnya apabila sudah mempunyai kekasih.
SUMBER : hmetro

♥ SMILE STORY IS MINE | ♥ LIKE | ♥ SHARE | ♥ NIEDA NORAINIDA