♥IKLAN,BLOG & SEGMEN TERBAIK..!! ♥





Tuesday, January 27, 2015

METRO : Saiz bukan halangan



Basyar Mustapha kagum dengan semangat penulis dan sukarelawan Rayyan Harris memecahkan tanggapan individu bersaiz XL dalam bergerak aktif membantu masyarakat.
Individu yang berbadan gempal atau XL sering diselubungi tanggapan negatif seperti bersikap malas dan tidak aktif.
Tanggapan ini sering dilemparkan kerana bentuk badan mereka dikatakan tidak menepati ciri seseorang yang cergas dan sihat.
Namun tanggapan negatif ini tidak pernah mematahkan semangat dan jati diri anak muda berbadan gempal Rayyan Harries.
Walaupun sering dipanggil 'montel', 'tembam' malah 'gemuk' oleh rakan-rakan, Rayyan tidak menjadikannya alasan untuk patah semangat dalam menjalani kehidupan apatah lagi meneroka minatnya bagi membantu masyarakat kurang bernasib baik.
"Kata-kata usikan dan kutukan mengenai fizikal dikurniakan Tuhan saya harungi sejak kecil lagi.
"Tipulah jika saya katakan tidak pernah terasa, sedih mahupun marah mengenai kata-kata itu dan pelbagai lagi nama panggilan yang dilemparkan kepada saya.
"Sehingga pada satu tahap saya rasa berasa sa­ngat hiba dan seperti tidak mahu bergaul dengan orang lain.
"Namun sehingga pada waktu sekolah menengah, saya sedar yang kegembiraan dalam hidup saya adalah di tangan saya dan bukannya di bibir individu lain yang tidak memahami.
"Saya memberi sema­ngat dan motivasi kepada diri sendiri dan tidak mahu lagi bersedih dengan cabaran yang diberi oleh-Nya.
"Saya mahu lalui kehidupan ini seperti rakan sebaya yang lain malah lebih ceria," kata Rayyan.
Sememangnya ceria adalah satu perkataan yang tepat untuk menggambarkan diri anak muda berusia 24 tahun berasal dari Subang Jaya, Selangor ini.
Penulis pernah bertemu dengan Rayyan menerusi satu program sebelum ini, penulis melihat beliau sebagai seorang yang mempunyai aura positif malah senyumannya boleh dikatakan berjangkit.
Malah penulis semakin mengagumi semangat hidup Rayyan selepas melihatnya aktif membantu insan dan masyarakat kurang bernasib baik di dalam dan luar negara.
"Bagi saya tiada maknanya hidup kita hampir sempurna dan gembira jika kita memandang sebelah mata kepayahan hidup orang lain dan tidak melakukan apa-apa yang kita mampu untuk membantu.
"Saya mula jatuh cinta untuk membanting tulang membantu mereka yang kurang bernasib baik apabila mula mengembara mengelilingi negara Asia Tenggara untuk bahan penulisan saya.
"Lawatan saya ke negara seperti Laos, Vietnam, Indonesia, Filipina dan Myanmar membuka mata saya mengenai kepayahan hidup yang tiada di negara kita yang boleh dikatakan bertuah. Di sana kemiskinan masih menjadi masalah utama masyarakat dalam menjalani kehidupan seharian.
"Majoriti masyarakat luar bandar di sana masih lagi dibelenggu kedaifan dan jauh daripada kemodenan hidup yang biasa kita alami di Malaysia. Di Laos, hati saya mula terpanggil untuk membantu setakat yang saya termampu dan sejak itu saya tidak toleh ke belakang lagi," katanya.
Kini Rayyan yang beratnya 116 kilogram (kg) aktif mengelilingi Asia Tenggara bersama badan amal antarabangsa All Hands Volunteer.
Bersama organisasi kebajikan itu, Rayyan membantu mangsa ribut taufan di Filipina sejurus selepas berlakunya bencana alam itu pada tahun lalu.
Daripada kerja me­ngemas dan menyediakan makanan hinggalah membantu membina semula penempatan, terlihat dedikasi Rayyan melalui gambar dikongsinya di laman sosial media serta blog pengembaraannya milikinya iaitu www.thebigsmallboy.com.
Kemudian dia membawa diri bersama rakan sukarelawan lain dari serata dunia menggunakan kelebihan mereka berbahasa Inggeris untuk mengajar kanak-kanak miskin di sebuah perkampungan di Jawa Tengah, Indonesia dengan mengajar mereka mengenali dan bertutur dalam bahasa antarabangsa itu.
"Membantu mereka seperti mendalami kehidupan yang mereka lalui. Suka dan duka mereka dapat kami rasai. Kemudahan dan keselesaan jauh sekali untuk dirasai kami sepanjang sesuatu program amal itu.
"Kami juga tinggal di tempat yang sama, makan apa yang ada. Malah cabaran semakin sukar untuk saya sebagai seorang Muslim berada di kawasan serba kekurangan di negara bukan Islam.
"Namun kepuasan melihat kegembiraan dan semangat mereka adalah ganjaran sebenar yang kami dapat dan kami ingin memberitahu bhawa mereka tidak keseorangan dalam menghadapi kesukaran dilalui," katanya.
Tragedi banjir besar yang melanda pantai timur baru-baru ini juga dekat di hati Rayyan.
"Selalunya kita di sini terasa jauh daripada bencana alam besar yang menginsafkan ini, tetapi bencana mengejutkan bagi saya amat memilukan.
"Pada saat inilah kita sebagai rakyat Malaysia perlu bersatu padu dan tunjuk sikap keprihatinan yang ada pada diri untuk membantu mangsa yang diuji bencana ini.
Rayyan juga baru berlepas ke Filipina semula beberapa hari lalu untuk meneruskan komitmen yang dimeterainya sebagai pe­ngurus media sosial de­ngan All Hands Volunteer bagi membantu pemulihan semula kawasan Tcloban selepas ribut Haiyan.
"Saya bukanlah sesiapa, namun ingin saya berikan semangat kepada anak muda terutama remaja di luar sana bahawa jangan melihat kekurangan diri sebagai penghalang untuk kita meneruskan minat dan apa juga perjuangan kita," katanya.


♥ SMILE STORY IS MINE | ♥ LIKE | ♥ SHARE | ♥ NIEDA NORAINIDA

METRO : Rupa atau jenaka



Berperwatakan kelakar tidak boleh dibuat-buat kerana ia adalah karakter semula jadi. SHUHADA MANSOR bandingkan dua tarikan berbeza yang menjadikan seorang lelaki digilai ramai wanita.
Ada orang yang tidak kisah mengenai paras rupa, tapi mementingkan karakter lain untuk membuatkan perhubungan lebih mesra. Pasti pernah terlintas di fikiran atau terungkap di mulut jika terserempak dengan pasangan yang boleh dianggap tidak secocok terutama dari segi paras rupa.
Jangan cepat menilai kerana setiap individu mempunyai cita rasa sendiri dalam memilih teman lelaki. Ada segelintir gadis tidak langsung mengambil kira perihal ketampanan pasangan asalkan jejaka itu sumber yang boleh membuatkannya ketawa.
Pandai tidak penting
Menerusi satu kaji selidik dikendalikan sebuah organisasi antarabangsa, ia sedikit sebanyak menyokong teori ini. Di mana, majoriti lelaki lebih cenderung memilih pasangan yang cantik walaupun kurang bijak.
Wanita yang dijadikan pilihan kepada responden dalam kajian ini adalah peserta program realiti popular 'Celebrity Big Brother's, Chantelle Houghton' yang jelita tetapi kurang pengetahuan dalam banyak hal.
Pilihan kedua adalah peserta program University Challenge, Gail Trimble yang memiliki kekuatan intelek tetapi kurang menyerlah dari segi fizikal.
Dalam kajian ini, 73 peratus responden kesemuanya lelaki memilih Houghton yang secara fizikalnya tampak lebih menarik berbanding Trimble. Dan alasan yang diberi hampir separuh daripada responden ialah kebijaksanaan tidak penting. Apa yang lebih penting bagi mereka ialah membuatkan rakan kagum melihat mereka berdamping dengan wanita jelita.
Licik
Taktik membeli cinta dengan wang ringgit bukanlah rahsia kejayaan jejaka berpewatakan kelakar mencuri hati seseorang. Percayalah mereka adalah golongan 'pencuri hati' paling licik dan berjaya tanpa bantuan orang lain. Jadi tidak hairanlah mengapa perempuan cantik banyak terpikat dengan mereka.
Antara sebab lain, meskipun dianggap sedikit kurang dari segi ketampanan, golongan jejaka ini kebanyakannya kreatif. Cara mereka berjenaka dan selalunya cenderung untuk melakukan kejutan manis buat pasangan adalah faktor mereka menjadi pilihan. Bukan itu saja, dikala kita bersedih, pasti saja mereka ada jalan untuk memujuk dengan cerita kelakar atau perwatakan bersahaja yang pasti mencuti hati.
Memang sangat penting untuk orang di sekeliling menyukai pasangan yang dipilih. Orang lain juga yang berdekatan boleh memberikan pandangan. Jika memilih pasangan berperwatakan santai, pasti si dia mudah diterima sesiapa saja. Selain mudah mesra, hubungan anda juga pastinya mudah mendapat persetujuan daripada rakan atau keluarga.
Sumber jenaka
Meskipun paras rupa tidak seperti model atau selebriti antarabangsa, lelaki yang pandai berjenaka selalunya tidak membosankan. Ada saja idea si dia untuk mengusik dan membuatkan pasangan terhibur. Keadaan sebegini akan membuatkan kita sentiasa dalam keadaan bahagia.
Pilihan terbaik jika anda dalam kategori ini kerana ada fakta menarik mengenai ketawa. Difahamkan, ketawa adalah salah satu cara untuk mengekalkan wajah untuk sentiasa nampak muda. Jadi, tidak hairanlah jika wajah pasangan jejak 'pelawak' sentiasa awet muda.
Kesimpulannya, lelaki yang dapat memberikan senyuman dan ketawa buat seorang perempuan adalah yang paling dicari. Wanita memang suka dengan lelaki yang pandai membuat lawak. Terasa keceriaan dan kegembiraan bila bersama.

♥ SMILE STORY IS MINE | ♥ LIKE | ♥ SHARE | ♥ NIEDA NORAINIDA

WORDLESS WEDNESDAY





♥ SMILE STORY IS MINE | ♥ LIKE | ♥ SHARE | ♥ NIEDA NORAINIDA