Berperwatakan kelakar tidak boleh dibuat-buat kerana ia adalah karakter semula jadi. SHUHADA MANSOR bandingkan dua tarikan berbeza yang menjadikan seorang lelaki digilai ramai wanita.
Ada orang yang tidak kisah mengenai paras rupa, tapi mementingkan karakter lain untuk membuatkan perhubungan lebih mesra. Pasti pernah terlintas di fikiran atau terungkap di mulut jika terserempak dengan pasangan yang boleh dianggap tidak secocok terutama dari segi paras rupa.
Jangan cepat menilai kerana setiap individu mempunyai cita rasa sendiri dalam memilih teman lelaki. Ada segelintir gadis tidak langsung mengambil kira perihal ketampanan pasangan asalkan jejaka itu sumber yang boleh membuatkannya ketawa.
Pandai tidak penting
Menerusi satu kaji selidik dikendalikan sebuah organisasi antarabangsa, ia sedikit sebanyak menyokong teori ini. Di mana, majoriti lelaki lebih cenderung memilih pasangan yang cantik walaupun kurang bijak.
Wanita yang dijadikan pilihan kepada responden dalam kajian ini adalah peserta program realiti popular 'Celebrity Big Brother's, Chantelle Houghton' yang jelita tetapi kurang pengetahuan dalam banyak hal.
Pilihan kedua adalah peserta program University Challenge, Gail Trimble yang memiliki kekuatan intelek tetapi kurang menyerlah dari segi fizikal.
Dalam kajian ini, 73 peratus responden kesemuanya lelaki memilih Houghton yang secara fizikalnya tampak lebih menarik berbanding Trimble. Dan alasan yang diberi hampir separuh daripada responden ialah kebijaksanaan tidak penting. Apa yang lebih penting bagi mereka ialah membuatkan rakan kagum melihat mereka berdamping dengan wanita jelita.
Licik
Taktik membeli cinta dengan wang ringgit bukanlah rahsia kejayaan jejaka berpewatakan kelakar mencuri hati seseorang. Percayalah mereka adalah golongan 'pencuri hati' paling licik dan berjaya tanpa bantuan orang lain. Jadi tidak hairanlah mengapa perempuan cantik banyak terpikat dengan mereka.
Antara sebab lain, meskipun dianggap sedikit kurang dari segi ketampanan, golongan jejaka ini kebanyakannya kreatif. Cara mereka berjenaka dan selalunya cenderung untuk melakukan kejutan manis buat pasangan adalah faktor mereka menjadi pilihan. Bukan itu saja, dikala kita bersedih, pasti saja mereka ada jalan untuk memujuk dengan cerita kelakar atau perwatakan bersahaja yang pasti mencuti hati.
Memang sangat penting untuk orang di sekeliling menyukai pasangan yang dipilih. Orang lain juga yang berdekatan boleh memberikan pandangan. Jika memilih pasangan berperwatakan santai, pasti si dia mudah diterima sesiapa saja. Selain mudah mesra, hubungan anda juga pastinya mudah mendapat persetujuan daripada rakan atau keluarga.
Sumber jenaka
Meskipun paras rupa tidak seperti model atau selebriti antarabangsa, lelaki yang pandai berjenaka selalunya tidak membosankan. Ada saja idea si dia untuk mengusik dan membuatkan pasangan terhibur. Keadaan sebegini akan membuatkan kita sentiasa dalam keadaan bahagia.
Pilihan terbaik jika anda dalam kategori ini kerana ada fakta menarik mengenai ketawa. Difahamkan, ketawa adalah salah satu cara untuk mengekalkan wajah untuk sentiasa nampak muda. Jadi, tidak hairanlah jika wajah pasangan jejak 'pelawak' sentiasa awet muda.
Kesimpulannya, lelaki yang dapat memberikan senyuman dan ketawa buat seorang perempuan adalah yang paling dicari. Wanita memang suka dengan lelaki yang pandai membuat lawak. Terasa keceriaan dan kegembiraan bila bersama.
SUMBER : Harian Metro : SHUHADA MANSOR
Tweet
No comments:
Post a Comment